Perginya TG Ismail Kamus Maka Berakhirlah Era Ulama Terawal Jadi Selebriti Dakwah Di Kaca TV


Indahnya pemergian Almarhum Tuan Guru Datuk Haji Ismail Kamus kepada Penciptanya pada penghulu segala hari dan penghulu segala bulan. Jika dilihat kepada berita pemergian ini, saya merasakan ini juga adalah berakhirnya satu era, iaitu era ulama yang terawal menghidupkan dakwah di televisyen sekitar awal 90an.
Tidak seperti hari ini, pentas dakwah di televisyen dahulu hanya ada beberapa slot sahaja iaitu pada waktu petang dengan program al-Quran & soal jawab agama dan juga pada malam Jumaat iaitu Forum Perdana Ehwal Islam. 
Program petang sinonim dengan dua tokoh iaitu Almarhum Tan Sri Hassan Azhari dengan program mengaji al-Quran. Manakala, soal jawab agama pula bersama mantan Mufti Selangor, Almarhum Dato Mufti Haji Ishak Baharom.
Untuk Forum Perdana Ehwal Islam pula, panel yang KERAP dijemput pada waktu itu ialah Almarhum Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din, Almarhum Dato Seri Abu Hassan Din al-Hafiz, mantan Mufti Wilayah Persekutuan Almarhum Datuk Md Hashim Yahaya dan juga Almarhum Datuk Haji Ismail Kamus.
Hanya moderator Forum Perdana Ehwal Islam sahaja yang masih ada bersama kita lagi iaitu Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali.
Merekalah pencetus kepada lahirnya ramai asatizah yang menggalas tugas pewaris nabi pada hari ini. Semoga Allah menempatkan roh mereka di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Allahummaghfirlahum warhamhum wa’aafihim wa’fuanhum.
Kredit; Shahrom Hassan